PORT DICKSON 9 Dis. – Menteri Besar, Aminuddin Harun mengakui perhimpunan #DaulatHimpunan812 di ibu negara semalam adalah isyarat kurang baik kepada kerajaan Pakatan Harapan.
Pengerusi Pakatan Harapan negeri itu berkata, walaupun isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) telah dijelaskan oleh kerajaan, namun rakyat tetap berhimpun bagi menyatakan rasa tidak puas hati.
“Isu itu telah dijawab dan diberi penerangan dengan baik namun ia dibawa menjadi isu perkauman dan agama. Kita tidak boleh biarkan perkara ini, umpama barah kena dirawat sejak awal supaya tidak lebih memudaratkan kita.
“Ini yang kita kena kaji dan lihat. Kita kena turun padang berjumpa rakyat dan memberi penerangan,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Konvensyen itu dirasmikan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan turut dihadiri Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Tan Sri Dr. Rais Yatim. – UTUSAN ONLINE










