KUALA TERENGGANU 3 Dis. – Mulai tahun depan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mempertingkatkan program Bas Mobil, dikenali Bas Mobil Ekspres bagi membolehkan pelanggan mendapatkan MyKad dengan mudah dan cepat.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Mohamad Razin Abdullah berkata, melalui inisiatif itu, pelanggan berpeluang membuat permohonan MyKad di bas berkenaan yang dicetak sebelum diserahkan kepada pemiliknya.
Katanya, pada masa ini program berkenaan masih di peringkat ujian dan akan dilaksanakan awal tahun hadapan.
“Sebelum ini pelanggan yang membuat permohonan melalui perkhidmatan Bas Mobil JPN yang akan ke lokasi-lokasi terpilih dan hanya boleh mengutip MyKad yang sudah siap di mana-mana cawangan JPN dalam tempoh tujuh hari.
”Dengan adanya kemudahan perkhdimatan itu pelanggan tidak perlu lagi menunggu dan perolehi kad di mana-mana cawangan ditetapkan, sebaliknya boleh mendapatkannya secara terus di situ,’’ katanya,
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Temu Mesra JPN Bersama Agensi dan Media di Permai Hotel di sini, petang semalam. Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN, Jasri Kasim dan Pengarah JPN Terengganu, Mohd. Nasir Kareem.
Menurut beliau, pada masa ini empat bas digunakan untuk menyediakan perkhidmatan tersebut yang melibatkan dua buah di semenanjung dan masing-masing sebuah di Sabah dan Sarawak.
Katanya, bas berkenaan akan bergerak ke lokasi terpilih melalui program di bawah anjuran JPN atau dengan kerjasama komuniti setempat terutama di kawasan pedalaman.
“Sambutan perkhidmatan mobil bas sedia ada mendapat permintaan tinggi kerana dapat bantu orang ramai untuk berurusan MyKad dan sijil kelahiran, walaupun terpaksa menunggu tujuh hari untuk memperolehinya,’’ ujarnya.
Selain itu beliau berkata, JPN juga, turun padang dengan memberi tumpuan khususnya kepada golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan mereka yang terlantar. – UTUSAN ONLINE









