KUALA LUMPUR 19 Dis. – Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjelaskan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad bersama tujuh penceramah lain tidak digugurkan untuk bersiaran di stesen radio agensi kerajaan itu, KelantanFM.
RTM dalam kenyataannya menyatakan pihaknya juga tidak menggugurkan mana-mana pihak untuk bersiaran.
“Pihak RTM tidak pernah menyekat mana-mana penceramah asal dalam slot tersebut,” jelas kenyataan itu dan hari ini.
Kenyataan yang dikeluarkan itu merujuk kepada artikel disiarkan dalam Utusan Malaysia Online bertajuk “RTM: Mufti Kelantan pula disekat?”
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Mohamad Shukri terkena tempias apabila namanya dipercayai turut digugurkan dalam senarai penceramah yang bersiaran di slot petang RTM Kota Bharu- KelantanFM.
Menurut sumber, seramai tujuh nama penceramah digugurkan daripada bersiaran di radio tersebut dan digantikan dengan senarai nama penceramah baharu. – UTUSAN ONLINE










