TOKYO 17 Dis. – Pihak polis dan bomba Jepun sedang mencari punca letupan dramatik di bandar Sapporo yang menyebabkan sebuah bangunan musnah dan 42 orang cedera, semalam.
Media tempatan melaporkan, insiden itu mungkin disebabkan oleh tangki gas propana di dalam bangunan terbabit.
Menurut polis dan bomba Sapporo, masih terlalu awal untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung punca letupan berkenaan.
Wujud pelbagai laporan mendakwa berlakun kebocoran asap daripada tin semburan yang telah dikumpulkan untuk dilupuskan di sebuah syarikat hartanah di bangunan tersebut.
Namun para penyiasat turut meneliti sekurang-kurangnya sembilan tangki propana yang dipasang di pelbagai premis dalam bangunan terbabit.
Agensi berita Kyodo News melaporkan, beberapa pelanggan di sebuah restoran di tingkat satu bangunan itu berkata, mereka terhidu bau gas ketika letupan tersebut berlaku.
Sehingga kini, polis mengesahkan tiada mangsa yang meninggal dunia.
Antara yang tercedera ialah beberapa orang kanak-kanak, selain seorang lelaki yang mengalami luka terbakar dan seorang wanita patah kaki selepas bertindak terjun dari bangunan tersebut untuk melarikan diri.
“Kami sedang menyiasat laporan berhubung insiden tersebut bersama polis di tempat kejadian,” kata pegawai jabatan bomba yang tidak didedahkan identitinya.
Pihak berkuasa tempatan telah membuka penempatan sementara untuk mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat letupan terbabit. – AFP/REUTERS










