Calet Orang Asli tarikan Kuala Mu - Utusan Malaysia

Calet Orang Asli tarikan Kuala Mu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIRA-KIRA 10 tahun lalu, penulis pernah sampai ke Pos Kuala Mu di Sungai Siput, Perak. Terletak dalam Hutan Simpan Piah, kehadiran penulis ke perkampungan Orang Asli itu adalah untuk mendaki Gunung Yong Yap yang merupakan salah satu gunung dalam G7.

Tempat mula mendaki adalah dari perkampungan tersebut. Ketika itu, hanya kenderaan pacuan empat roda (4×4) yang mampu meredah laluan tanah merah berbukit sejauh kira-kira 40 kilometer dari Masjid Kampung Bewong.

SEBUAH pondok rehat didirikan di tepi sungai. S2/Nieta Ramli
SEBUAH pondok rehat didirikan di tepi sungai. 

Ada kalanya jentera 4×4 tersangkut dalam becak, sekali gus melambatkan perjalanan. Semua itu tinggal kenangan apabila penduduk kampung kini menikmati jalan raya berturap sehingga ke hujung kampung terakhir.

Bukan itu sahaja, Pos Kuala Mu yang terdiri daripada empat buah kampung itu semakin dikenali sebagai destinasi percutian alam yang mengujakan. Ini kerana salah sebuah kampung di pos tersebut iaitu Kampung Bersah memiliki calet stail Orang Asli yang didirikan di tepi sungai.

Terdapat 20 buah calet menanti pengunjung yang kesemuanya diperbuat daripada buluh dan bertam.

Calet yang mampu memuatkan empat orang itu mempunyai balkoni yang menghadap sungai. Ruang balkoni cukup luas dan boleh digunakan sebagai tempat memasak.

Setiap calet dilengkapi dengan lampu, namun tiada plak untuk mengecas telefon bimbit atau peralatan elektrik lain. Begitupun, pengunjung boleh menggunakan kemudahan itu di dewan yang terletak bersebelahan pejabat menempatkan kaunter bayaran.

Kemudahan bilik air dan tandas disediakan di seberang jalan, tidak jauh dari calet.

Penulis yang berpeluang menghabiskan cuti hujung minggu di calet tersebut kagum dengan inisiatif yang dilakukan penduduk kampung.

Pengurus calet, Saidin Ismail berkata, pembangunan calet di kampung itu membantu menjana ekonomi penduduk kampung yang bekerja di situ.

PAPAN tanda calet Kampung Bersah di Pos Kuala Mu, Sungai Siput,
PAPAN tanda calet Kampung Bersah di Pos Kuala Mu, Sungai Siput, 

Ini dapat dilihat apabila sebaik sahaja penulis mendaftar keluar, beberapa wanita Orang Asli masuk ke dalam calet bagi membawa keluar cadar, selimut dan sarung bantal untuk dicuci.

“Setiap calet dilengkapi dengan tilam, selimut dan kelambu. Pondok memasak ada disediakan. Kalau pengunjung mahu memasak di balkoni calet masing-masing, itu tidak jadi masalah kerana paip air ada disediakan dekat calet,” katanya kepada S2.

AKTIVITI

Kadar sewa setiap calet adalah RM60 dan tempahan perlu dibuat awal, sekurang-kurangnya sebulan sebelum tarikh menginap. Ini kerana jumlah calet adalah terhad sedangkan sambutan hangat diterima daripada orang ramai.

TREKING ke air terjun Sungai Jak hanya mengambil masa 20 minit
TREKING ke air terjun Sungai Jak hanya mengambil masa 20 minit 

Mengulas mengenai aktiviti, Saidin berkata, pihaknya menyediakan khidmat pemandu arah ke air terjun Sungai Jak yang terletak kira-kira 20 minit berjalan kaki. Perjalanan menuju ke sana memerlukan pengunjung menempuh kebun koko dan menyeberang sungai.

Di kiri dan kanan sungai, hidup subur pucuk paku yang sedap dibuat gulai lemak. Penulis dan rakan-rakan turut memetik pucuk paku untuk dibawa pulang ke rumah. Walaupun terpaksa ‘berperang’ dengan pacat, namun kesegaran pucuk paku mengatasi rasa pedih gigitan pacat.

DEWAN dan kaunter bayaran terletak bersebelahan.
DEWAN dan kaunter bayaran terletak bersebelahan. 

Aktiviti yang lebih mencabar adalah mendaki Gunung Yong Yap. Pendakian memakan masa dua hari satu malam. Bagaimanapun, laluan ke puncak itu dari Pos Kuala Mu kini menjadi laluan klasik sejak laluan baru yang lebih dekat dan mudah dibuka di Pos Lojing, Kelantan.

“Aktiviti lain yang boleh dilakukan pengunjung adalah memancing di sungai yang mengalir di hadapan calet.

Sungai ini kaya dengan spesies tengas. Ada juga yang menahan bubu menggunakan umpan hati ayam,” tambahnya.

Tiada kemudian kafe di calet, justeru pengunjung perlu memasak sendiri.

CALET terletak di tepi sungai yang mengalir jernih.
CALET terletak di tepi sungai yang mengalir jernih. 

Seorang pengunjung, Rozalina Mohamadin memberitahu, dia leka mendengar aliran sungai yang mengasyikkan tatkala malam menjelma.

“Memang syok tidur bersulamkan bunyi unggas dan air sungai mengalir di tepi calet ini,” katanya.

Dia yang datang bersama beberapa rakan berkata, persekitaran calet yang tenang membantu merehatkan diri selepas penat bekerja sepanjang minggu.

“Saya harap suasana yang ada ini dapat dikekalkan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN