Cabaran utama PH memperkasakan ekonomi - Utusan Malaysia

Cabaran utama PH memperkasakan ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Dis. – Cabaran utama kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun hadapan adalah memperkasakan ekonomi negara dengan mewujudkan persekitaran yang mesra perniagaan bagi mengembalikan semula keyakinan para pelabur.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, barisan Kabinet yang dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah melaksanakan pelbagai langkah produktif sejak beberapa bulan lalu bagi mencapai objektif tersebut.

“Cabaran utama adalah untuk mendapatkan keyakinan daripada pelbagai pelabur, bukan hanya tempatan tetapi antarabangsa juga.

“Perdana Menteri dan barisan Kabinet beberapa bulan lalu telah meningkatkan tahap keyakinan para pelabur, yang mana mereka ingin kembali ke Malaysia dan melabur di negara ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, langkah Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) menjual ekuitinya dalam IHH Healthcare Berhad (IHH) kepada Mitsui & Co. Ltd. (Mitsui) pada kadar yang tinggi.

Jelasnya, penjualan 16 peratus ekuiti atau atau 1,403,087,400 sahamnya itu tidak dilakukan secara terbuka kerana Khazanah dan Mitsui adalah pemegang saham dalam IHH.

“Kita kena tengok semula perniagaan utama Khazanah, jadi saya berpendapat Khazanah telah berada dalam IHH agak lama dan kini harga dibayar dengan premium terbaik.

“Jadi ini juga langkah terbaik untuk Khazanah keluar dan memberi tumpuan kepada industri lain yang lebih strategik untuk negara,” katanya.

Semalam, Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan tindakan Khazanah menjual sebuah syarikat pemilik rangkaian hospital swasta kepada syarikat Jepun secara rundingan terus tanpa tender minggu lalu.

Dalam satu kenyataan dalam Facebook, Najib berkata, tindakan Khazanah menjadikan Mitsui sebagai pemegang saham terbesar dalam IHH walaupun syarikat itu disenaraikan di Bursa Malaysia sejak 2012, beruntung besar, cepat berkembang dan penuh potensi. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN