KUALA LUMPUR 14 Dis. – Dikelilingi bangunan pencakar langit dan diapit kemajuan yang semakin pesat, ramai beranggapan kuasa pentadbiran di kawasan penduduk ibu kota hanya terletak pada tangan ahli-ahli politik.
Walhal beberapa penempatan yang membangun di atas tapak-tapak asal kampung Melayu berkenaan masih mengekalkan status kampung dan ditadbir oleh ketua kampung.
Seperti di kawasan desa dan luar bandar, peranan sebagai ketua kampung tidak lari daripada tanggungjawab pengurusan dan pentadbiran yang tertumpu di peringkat akar umbi.
Namu di kota, tugas untuk mengambil tahu dan cakna mengenai permasalah penduduk sudah tentu berbeza dan memerlukan pendekatan yang berlainan.
Semestinya, dalam ruang bersemuka yang semakin ‘sempit’ itu, peluang untuk berinteraksi, berdialog atau terlibat dalam acara kominiti bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.
Ketua-ketua kampung di Kuala Lumpur juga perlu mengambil kira pandangan orang ramai daripada pelbagai latar belakang dan berdepan dengan isu-isu yang kritikal seperti masalah perbandaran, hak milik tanah, kesan pembangunan, kesesakan lalu lintas dan sebagainya.
Selain itu, cabaran yang paling kritikal adalah untuk memastikan kampung yang ditadbir dapat manfaat yang seimbang dan tidak ketinggalan dalam semua aspek pembangunan masyarakat.











