Assalamualaikum… Bro bagi salam ni bukan apa, Bro tak mahu jadi macam kawan Bro, Miss Kitty yang tiba-tiba sahaja terus belasah lelaki sampai lupa nak bagi salam. Tetapi Bro tak terkejut perempuan kalau emosi memang macam itu, dia punya emosi tu kalah taufan, apa sahaja ada di depan mata semua dilanggar, sebab itu salam pun tak bagi. Tak tahulah macam mana keadaan kalau pergi rumah orang dalam keadaan emosi, entah-entah pintu pun dia rempuh.
Jadi Bro nak nasihat Miss Kitty, kalau nak emosi pun agak-agaklah. Bagilah salam dan perkenalkan diri dulu. Jangan dok main terjah aje nanti orang kata gelojoh. Sebenarnya dah lama Bro tak menulis kat ruangan ini. Walaupun ramai peminat Bro yang kacak ni minta Bro terus menulis tetapi Bro relaks dulu buat seketika. Bro sahaja habiskan masa dok perhati perangai perempuan yang kadang kala cukup memualkan.
Ruangan Bro ini bukan bertujuan mahu membalas hujah-hujah emosi Miss Kitty tetapi dalam bahasa molek sikit menasihat dan menegur dengan ikhlas supaya perempuan hati-hati dalam apa juga hal.
Bro tak berminat mahu bergaduh dengan perempuan sebab Bro rasa buang masa sahaja. Perempuan kalau kalah berhujah nanti dia mulalah nak emosi malah ada yang sampai nak tercabut tudung bila marah. Tu tak kira lagi suara jantan pun tiba-tiba terkeluar.
Kalau setakat nak marah soal on the way, Bro rasa perempuan lagi teruk bila cakap bab tunggu menunggu ini. Lelaki on the way dia sampai juga, ada sesetengah perempuan, dia punya on the way akhirnya ke laut.
Bro dah masak dengan isu tunggu menunggu ni. Cuba perhatikan kat pusat beli-belah siapa paling setia menanti bila si isteri beli barang dah pasti lelaki. Kadang kala Bro pelik perangai perempuan ini, nak beli satu barang aje pun tapi satu kompleks dia round. Telitilah kononnya.
Sebenarnya tak teliti sangat pun, bila balik rumah, belek punya belek, sendiri beli sendiri tak puas hati.
Baik lagi lelaki macam Bro, kalau nak beli barang jumpa satu kedai terus saja beli, tak ada masa nak tawaf satu kompleks beli-belah. Nanti mesti perempuan cakap lelaki tak berhati-hati. Bukan soal tak berhati-hati tetapi lelaki buat perancangan awal-awal. Sebelum keluar rumah dah fikir siap-siap barang apa nak dibeli dan kedai mana nak dituju.
Bukan macam perempuan, keluar rumah baru nak fikir sebab itu kalau tengok perempuan pandu kereta macam hantu raya, sekejap ke kiri, sekejap ke kanan sebab apa? Sebab tak ada perancangan mana nak dituju.
Jadi Bro nak nasihatkan akak-akak dan adik-adik, yang bergelar `miss’ ke atau tidak, tak payah nak emosi sangat bab tunggu menunggu ini. Banyak lagi perkara lain boleh difikirkan, kalaupun mahu cari kelemahan lelaki.
Bro tak kisahpun nak kata apa, sebab Bro ni lelaki yang tepati masa, kalau janji pukul 9 pagi paling kurang 30 minit dah ada tempat yang dijanjikan. Perempuan pula bab jaga masa ini, minta maaf cakaplah majoritinya silap-silap kalau tunggu mereka datang, kalau bakar lemang dah masak dah.
Janganlah kerana perempuan itu silap cari kawan, dia nak `sapu rata’ semua lelaki sama. Yang perempuan gatal sangat nak kawan dengan orang yang tak tahu tepati masa ini, apa hal?
Kesimpulannya Bro nak nasihatkan, bila berhujah jangan emosi. Sebab nanti terserlah ketidakbijaksanaan kita dalam menangani sesuatu perkara, chewah, baguskan bahasa Bro?
Okaylah, Bro minta izin undur diri dulu, insya-Allah nanti kita jumpa lagi dalam coretan seterusnya.
Bro Tompok – Tak kisah menunggu asal bahagia.










