KUANTAN 30 Dis. – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberi ruang secukupnya untuk memimpin parti itu dengan gaya dan kepemimpinan beliau sendiri.
Sehubungan itu, Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung berkata, tidak seharusnya ada ahli parti berkenaan mempertikaikan pelantikan beberapa jawatan utama kepemimpinan parti tersebut yang merupakan hak istimewa Anwar selaku Presiden PKR.
“Kita nampak yang dilantik itu daripada pelbagai latar belakang. Bukan sahaja ada kononnya daripada kem-kem tertentu malah daripada bekas Parti Rakyat Malaysia yang dilantik. Kita nampak ini satu percubaan untuk menggabungkan semua tenaga demi kebaikan Pakatan Harapan.
“Saya tidak nampak mengapa harus dipertikaikan dan kita berikan ruang yang cukup kepada Presiden untuk memimpin PKR dengan corak, gaya dan kepemimpinan beliau,” katanya selepas melancarkan projek Kuantan Book Exchange di Gunteng Barbershop di Indera Mahkota di sini hari ini.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilapor menyifatkan pelantikan beberapa jawatan utama kepemimpinan parti itu yang diumumkan kelmarin sebagai membelakangkan pandangan akar umbi.
Menurutnya, parti tersebut perlu mengambil semangat musyawarah dan saling hormat-menghormati demi mengembalikan perjuangan parti ke landasan sebenar.
Justeru, beliau menggesa Anwar meneliti semula pelantikan jawatan-jawatan utama berkenaan. – UTUSAN ONLINE










