KUALA LUMPUR 9 Dis. – Polis akan memanggil penganjur #DaulatHimpunan812 selepas mengesan terdapat peserta membawa kanak-kanak menyertai perhimpunan yang diadakan di Dataran Merdeka itu, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihak penganjur akan dipanggil untuk siasatan dalam masa terdekat.
“Kita terima satu laporan polis mengenai peserta yang membawa kanak-kanak ke perhimpunan berkenaan dan akan disiasat di bawah Seksyen 4(2)(f) Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Tindakan itu menyalahi syarat-syarat yang telah ditetapkan jadi kita akan panggil penganjur untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, polis menganggarkan kira-kira 55,000 peserta Perhimpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hadir membanjiri Dataran Merdeka.-UTUSAN ONLINE










