Banjir lumpur 'hantui' Orang Asli - Utusan Malaysia

Banjir lumpur ‘hantui’ Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 16 Dis. – Kejadian banjir lumpur yang berlaku secara kerap setiap kali cuaca buruk terus menghantui lebih 500 penduduk Orang Asli di Kampung Jedip, Pos Brooke, di sini.

Banjir lumpur dikatakan semakin kerap dalam tiga tahun kebelakangan ini dan ia dipercayai berpunca daripada haki­san bukit yang telah dijadikan kawasan pertanian berhampiran kediaman mereka.

Kejadian terbaharu berlaku pukul 8 malam Khamis lalu apabila hujan lebat menyebabkan air dari bukit yang digondol itu melimpah turun membawa lumpur dan sisa sampah.

Air lumpur itu mengalir hingga ke permukaan jalan raya dan menjejaskan kelancaran perge­rakan kenderaan pengguna Jalan Gua Musang-Lojing.

Penghulu Brooke Lama, Rian Bujang berkata, kejadian banjir lumpur yang berpunca daripada bukit digondol oleh pengusaha kebun sayur itu bukanlah perkara baharu yang dihadapi penduduk Orang Asli di kampung terbabit.

Katanya, sepanjang tahun ini sahaja lebih lima kali berlaku banjir lumpur terutama apabila hujan lebat.

“Jalan raya di kampung itu ditenggelami air banjir lumpur dan menghalang penduduk Orang Asli yang menggunakan motosikal untuk ke bandar Gua Musang.

“Kita juga bimbang banjir lumpur itu menghempap rumah. Kita sentiasa bersiap sedia untuk berpindah jika keadaan membahayakan keselamatan penduduk Orang Asli,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli Kampung Jedip, Edi Shariff, 34, berkata, kedudukan bukit digondol itu hanya terletak kira-kira 100 meter dari kediaman penduduk.

Katanya, sebelum ini sudah beberapa kali bantahan dibuat kepada kerajaan negeri dan pengusaha kebun, namun tidak pernah dihiraukan.

“Kita bimbang jika hujan le­bat waktu malam menyebabkan hakisan bukit dan air lumpur turun secara tiba-tiba lalu menimpa rumah penduduk,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN