DUNGUN 5 Dis. – Hujan berterusan, kadangkala lebat sejak semalam menyebabkan seramai 31 penduduk daripada lapan keluarga di Kampung Besol Lama, Bandar Bukit Besi dekat sini terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di sini pagi tadi.
Kesemua mangsa mula dipindahkan ke pusat pemindahan di Surau Kampung Besol pukul 10 pagi berikutan kediaman mereka dilanda banjir kilat pada awal pagi.
Difahamkan keadaan saliran yang tersumbat dan paras air Sungai Besol yang melimpahi tebing telah menyebabkan air memasuki kediaman dengan cepat dan kesemua mereka diarah berpindah setelah rumah mereka dinaiki air sedalam 0.5 meter.
Masalah sistem saliran yang tersumbat akibat daripada projek pembinaan jalan raya di kawasan berhampiran dan tebing sungai yang rendah menjadi punca berlaku banjir kilat yang kerap melanda kawasan mereka sejak lima tahun lalu.
Menurut seorang suri rumah, Jawar Jusoh, 60, ketika ditemui di pusat pemindahan banjir berkata, rumahnya yang berada di tepi Sungai Besol mendorongnya mengambil langkah awal berpindah ke rumah anak saudaranya yang terletak berdekatan.
“Makcik ni bila dah tengok air naik terus pergi dekat rumah anak saudara dan bila air surut, makcik balik semula. Bila hujan lebat semalam, makcik pergi semula ke rumah anak saudara sebelum pindah di sini.
“Makcik harap ada pihak yang dapat selesaikan masalah ini kerana tiap-tiap tahun makcik dan anak- anak terpaksa hadapi keadaan begini. Lagi pun makcik dah tua dan tak larat nak pindah-randah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










