Bangun tanah wakaf - Utusan Malaysia

Bangun tanah wakaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI 5 Dis. – Kerajaan negeri akan memperhalusi cadangan membangunkan projek perumahan mampu milik untuk golongan berpendapatan B40 dengan menggunakan tanah wakaf di negeri ini sambil menyifatkan sebagai langkah yang baik.

AMINOLHUDA HASSAN

Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, kerajaan negeri juga akan membawa perkara itu ke Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Menurutnya, buat masa ini, belum ada pembangunan tanah wakaf yang khusus dibangunkan untuk membuat perumahan mampu milik untuk golo­ngan B40 di negeri ini.

“Kerajaan negeri perlu memperhalusi beberapa perkara dan isu yang sering dibangkitkan berhubung perkara itu antaranya pemilikan hak milik tanah wakaf kepada pembeli rumah.

“Terdapat beberapa kaedah boleh digunakan antaranya kaedah Istidbal iaitu menggantikan tanah wakaf yang ingin digunakan dengan tanah lain yang sama nilai atau dalam bentuk nilaian semasa,” katanya dalam sidang media di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini hari ini.

Aminolhuda berkata, kaedah lain adalah melalui pemilikan diberi secara pajakan kepada pembeli bukan status pemilikan kekal.

Walau bagaimanapun, kata­nya, jika pembangunan rumah dibuat secara bertingkat dan pembeli diberi hak pemilikan strata sahaja, ini masih tidak menggugat status wakaf tanah berkenaan dan status tanah itu tetap kekal.

“Justeru, kerajaan negeri akan membawa perkara itu ke Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dan sekiranya mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, maka kerajaan negeri tiada halangan untuk melaksanakan perkara itu demi menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×