1. Saya menerima berita yang amat mendukacitakan dan saya akui ia membuatkan saya begitu hiba kerana ia menyentuh perasaan hingga ke lubuk hati yang paling dalam.
2. Berita tentang hampir 800 orang kakitangan Utusan yang kehilangan pekerjaan amat amat mengecewakan saya. Saya mengambil masa yang agak lama untuk menghayati apa yang mereka rasakan ketika ini. Pasti keputusan ini menyulitkan buat mereka dan keluarga.
3. Utusan begitu nostalgia buat saya kerana jasanya terlalu besar dalam hidup ini. Mana tidaknya saya mula belajar membaca melaluinya dan sedikit demi sedikit saya memahami ilmu tentang negara, alam, agama, sains, politik dan banyak lagi. Malahan ia juga teman tempat saya berdamping ketika menduduki peperiksaan satu ketika dahulu.
4. Utusan adalah bahan bacaan saya yang pertama. Bukan komik dan bukan juga buku cerita. Sejak kecil lagi sudah menjadi tugas saya untuk membeli Utusan dari sebuah kedai mamak yang jaraknya hampir sebatu dari rumah kerana hari ayah dan ibu tidak akan lengkap tanpa Utusan. Namun kini Utusan menghadapi cabaran dasyat dari media sosial.
5. Saya masih ingat di mana tulisan pertama saya telah disiarkan oleh Utusan di sekitar tahun 1980an ketika saya masih baru dalam bidang pendidikan. Dan kebetulan pula tulisan saya adalah permintaan saya kepada Tunku Abdul Rahman supaya tidak terus mengkritik Datuk Seri Mahathir Mohamad dan tidak menganggu Mahathir dalam urusan pentadbiran sebagai Perdana Menteri.
6. Secara jujur, saya agak bingung mengapa Utusan perlu menerima nasib yang tidak menentu kerana berpuluh tahun lamanya Utusan menjadi perisai utama Perdana Menteri Tun Mahathir dalam mengharungi segala rintangan yang menerjah ke arahnya. Utusan jugalah yang telah menjadi alat utama dalam menaikkan imej Tun dan menjadikan beliau sentiasa di pihak yang benar setiap kali beliau berdepan dengan saingan politiknya.
7. Sejak merdeka, Utusan telah menjadi media yang paling bertanggungjawab dalam mendidik para pembacanya menjadi rakyat yang rasional dan bertolak ansur. Walaupun sering menerima cemuhan daripada pihak pembangkang seperti DAP ketika itu, Utusan telah berjaya memupuk masyarakat Melayu yang sangat sederhana dalam setiap tindak tanduknya. Sering dilihat sebagai alat kerajaan BN dan UMNO, Utusan tidak melatih para pembacanya menjadi masyarakat yang ekstremis.
8. Malang buat kakitangan Utusan yang terpaksa diberhentikan. Mereka telah menjadi mangsa kepada dua kumpulan politik yang berbalah. Amat malang juga apabila ada menteri yang memberi arahan bahawa Utusan tidak dibenarkan masuk ke sekolah. Arahan ini sungguh tidak masuk akal. Apabila gajah dengan gajah berbalah, pelanduk mati di tengah tengah.
9. Utùsan tidak perlu rasa kecewa kerana sudah menjadi resam dunia bahawa manusia sering lupa akan pengorbanan dan jasa baik yang telah ditaburkan. Tambahan pula jika manusia yang kita harapkan itu adalah yang tidak tahu mengenang budi.
10. Pasti ada hikmah dari kejatuhan ini. Utusan tidak akan mati kerana perjuangannya tidak akan luntur lantaran ia hidup di sanubari para pembaca yang pernah disentuhnya.
Luahan hati pembaca Utusan, Cikgu Kamarulazman.










