KUALA LUMPUR 3 Dis. – Penjaga gol kebangsaan S. Kumar menggesa Malaysian Tigers bangkit daripada kekecewaan dengan menumbangkan Pakistan dalam perlawanan kedua Kumpulan D Piala Dunia di Bhubaneswar, India Rabu ini.
Jelas pemain berpengalaman berusia 39 tahun itu, yang telah membuat 305 penampilan bersama skuad kebangsaan, kemenangan ke atas Pakistan penting untuk memastikan Malaysia terus bernafas dalam kejohanan itu.
Tegasnya, Malaysian Tigers perlu mengetepikan dahulu ‘kecederaan teruk’ dibelasah Belanda 0-7 dan memberikan tumpuan kepada perlawanan seterusnya.
“Saya tahu semua orang kecewa dengan prestasi kami dalam perlawanan pembukaan. Bagaimanapun ia sudah pun berakhir dan kami belajar daripada kekalahan tersebut. Jangan biar ia terus menghantui,” kata Kumar yang dipetik dalam laman web Konfederasi Hoki Malaysia.
Sabtu lalu, hasrat Malaysia untuk memulakan kempen Piala Dunia dengan langkah positif bukan sahaja gagal, malah dibelasah juara tiga kali, Belanda di Stadium Kalinga.
Gergasi hoki Eropah itu langsung tidak menunjukkan simpati kepada Malaysian Tigers apabila menjadikan kawasan D negara sebagai medan berpesta gol.
Lebih memilukan, ini kekalahan ke-29 Malaysia yang menghuni ranking ke-12 dalam 34 pertemuan menentang pasukan keempat terbaik dunia itu.
Mengulas lanjut, Kumar berkata, mereka mempunyai peluang yang baik untuk mengalahkan Pakistan kerana prestasi kedua-dua pasukan tidak jauh beza.
“Kita tidak perlu takut kepada mereka. Kami menghormati Pakistan dan menyedari bahawa mereka juga mahu menang.
“Mereka juga tewas dalam aksi pembukaan serta memerlukan tiga mata untuk mara ke pusingan kedua.
“Pertemuan dengan mereka adalah penentuan hidup atau mati, namun saya percaya dengan skuad ini.
“Mereka tahu untuk menebus kekecewaan kami perlu bersedia menghadapi cabaran,” kata Kumar lagi.










