Bakal doktor, Sharifah Husna juara Gadis Panca MyBeauty 2018 - Utusan Malaysia

Bakal doktor, Sharifah Husna juara Gadis Panca MyBeauty 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pencarian Gadis Panca MyBeauty 2018 sampai ke kemuncaknya apabila bakal doktor kelahiran Selangor, Sharifah Husna Syed Feisal dinobatkan sebagai juara pada pertandingan akhir yang berlangsung di Dewan Utusan Melayu di sini sebentar tadi. 

Kemenangan gadis berusia 25 tahun itu sekali gus melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, pakej percutian di Eropah tajaan Kembara Sufi Travel & Tour Sdn. Bhd., dan kontrak lakonan dengan A. Aida Production Sdn. Bhd.

Tempat kedua yang membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, pakej percutian ke Vietnam dan kontrak lakonan dimenangi oleh peserta kelahiran Terengganu, Sarah Mustafa.

Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Puteri Ateeqah sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, pakej percutian ke Thailand dan kontrak lakonan.

Tempat keempat hingga ke-10 masing-masing membawa hadiah wang tunai RM1,000, percutian ke Macau, China serta hadiah iringan lain.

Pentas akhir Gadis Panca MyBeauty 2018 diacarakan oleh Joey Daud manakala 10 finalis dinilai oleh barisan juri yang diketuai Ketua Pengarang MHE merangkap Pengarang Pancaindera, Datuk Khalidah Tengku Bidin. Juri jemputan terdiri daripada Pengarah MyBeauty, Datuk Wong Kong Choong, Datuk A. Aida, Datuk Fazley Yaakob, Rita Rudaini dan Samantha Katija.

Seramai 10 peserta berjaya ke peringkat akhir Gadis Panca MyBeauty 2018 setelah hampir ribuan penyertaan dari seluruh negara menghantar permohonan sejak awal Januari tahun ini.

Pencarian Gadis Panca MyBeauty 2018 diadakan bertujuan menyemarakkan industri seni dan hiburan tanah air melalui komitmen mencungkil bakat baharu dalam bidang berkenaan.

Gadis-gadis cantik, bijak dan berbakat menjadikan acara ini sebagai jambatan untuk mereka menjejaki dunia seni seterusnya mencipta nama pada masa hadapan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN