SEPANG 15 Dis. – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bersama Pertubuhan Pemandu, Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) hari ini melancarkan aplikasi e-hailing, cALLme yang berperanan mempromosi, mengiklan dan memperkenalkan perkhidmatan melibatkan pemandu teksi kepada masyarakat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, cALLme yang merupakan inisiatif bersama Koperasi Pemandu dan Pengusaha Teksi Limusin dan Kereta Sewa Selangor Berhad (Kopetekma) itu membantu pemandu teksi khususnya di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersaing dengan perkhidmatan e-hailing yang lain.
“Pendekatan lebih moden ini dilihat mampu menjamin kebajikan pemandu teksi dan merupakan satu hala tuju yang betul.
“Aplikasi ini juga berupaya pmengharmonikan industri e-hailing dan meningkatkan daya saing dalam kalangan pemandu teksi seiring Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) yang bakal menjana pertumbuhan ekonomi ke arah pendigitalan yang holistik sekali gus meningkatkan produktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Projek Aplikasi E-Hailing cALLme anjuran Angkasa dan Petekma di KLIA, dekat sini hari ini.
Hadir sama, Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Pengerusi Koperasi Petekma, Mohd. Syahir Abd. Aziz.
Mengulas lanjut Anthony berkata, aplikasi e-hailing cALLme dijangka memberi impak positif kepada koperasi yang berteraskan fungsi pengangkutan selain meningkatkan perkhidmatan industri teksi dan kereta sewa koperasi sedia ada. – UTUSAN ONLINE










