KUALA LUMPUR 3 Dis. – Kerajaan komited untuk mengangkat martabat kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai pihak yang menjadi kerajaan ketiga bagi memantapkan perkhidmatannya kepada masyarakat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, langkah itu penting dalam memperkasakan agensi tersebut sekali gus mewujudkan kesefahaman kukuh dengan rakyat.
“Peranan mereka sangat penting bukan sahaja berinteraksi dengan rakyat malah, bertanggungjawab dan berperanan sebagai kerajaan ketiga dalam penstrukturan negara.
“Sudah tiba masanya kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengangkat martabat mereka sebagai satu tahap kerajaan yang penting dalam pengurusan kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen PBT Malaysia 2018 di sini hari ini.
Yang turut hadir Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja Penguasa-Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae), Datuk Azih Muda dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan. – UTUSAN ONLINE










