Angkasa, Petekma lancar aplikasi e-hailing cALLme di KLIA - Utusan Malaysia

Angkasa, Petekma lancar aplikasi e-hailing cALLme di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) dengan kerjasama Pertubuhan Pemandu, Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) melancarkan sebuah aplikasi e-hailing, cALLme secara rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini .

Aplikasi yang dibangunkan hasil kerjasama Angkasa dan Koperasi Petekma itu berperanan mempromosi mengiklan dan memperkenalkan perkhidmatan yang terdiri daripada pemandu teksi kepada masyarakat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelancaran aplikasi cALLme berupaya membantu pemandu teksi khususnya di KLIA ke arah satu pendekatan yang lebih moden sekali gus dapat bersaing dengan perkhidmatan e-hailing yang lain.

Jelasnya, mengambil contoh di negara lain, perkhidmatan teksi dikendalikan oleh pihak koperasi dan pelancaran aplikasi cALLme untuk pemandu teksi juga seiring dengan pendekatan tersebut.

“Melalui sistem ini, pengurusan dan kebajikan pemandu lebih terjamin dan ini merupakan satu hala tuju yang betul.

“Aplikasi ini juga berupaya mengharmonikan industri e-hailing dan meningkatkan daya saing dalam kalangan pemandu teksi seiring dengan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) yang bakal menjana pertumbuhan ekonomi ke arah pendigitalan yang holistik sekali gus dapat meningkatkan produktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis perasmian Projek Aplikasi E-Hailing cALLme anjuran Angkasa dan Petekma di KLIA di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Pengerusi Koperasi Petekma, Mohd. Syahir Abd. Aziz.

Aplikasi cALLme dibangunkan untuk meningkatkan perkhidmatan industri teksi dan kereta sewa koperasi sedia ada dan dijangka memberi impak positif kepada koperasi yang berteraskan fungsi pengangkutan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN