GURUN 3 Dis. – Seorang anggota tentera ditemui dalam keadaan selamat hari ini, selepas dilaporkan hilang selama kira-kira 24 jam di kaki Gunung Jerai, di sini sejak semalam.
Mangsa yang berusia 34 tahun itu ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira pukul 1.30 petang tadi.
Menurut jurucakap Bomba dan Penyelamat, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.30 malam tadi sebelum melancarkan operasi mencari melibatkan pasukan itu, polis, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan renjer.
“Hasil operasi itu, mangsa ditemui dalam keadaan selamat. Turut ditemui sebuah motosikal milik mangsa di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Berdasarkan maklumat awal, mangsa dilaporkan mengalami masalah kesihatan. – UTUSAN ONLINE










