Anak Johor di rantau diminta terus sokong PH - Utusan Malaysia

Anak Johor di rantau diminta terus sokong PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Anak Johor yang berada di perantauan diminta untuk terus memberi sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kini menerajui negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Os­man Sapian berkata sokongan daripada ‘bangsa Johor’ terutama anak muda dapat membantu membina masa depan lebih cemerlang bagi negeri Johor Darul Takzim.

“Saya rasa terpanggil mahukan anak Johor yang berada di perantauan terutama di Wilayah Persekutuan dan Selangor untuk bantu saya membawa Johor maju dari negeri lain.

“Saya harap rakyat bangsa Johor bantu kerajaan PH yang diberikan mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas untuk mentadbir dan mengurus Johor supaya lebih cemerlang kerana masa depan perjuangan kita bukan semata-mata untuk kita hari ini sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis hi-tea Muafakat Johor anjuran Persatu­an Anak Melayu Johor (PAMJ) yang dihadiri lebih 500 anak Johor dari Wilayah Persekutuan dan Selangor di sebuah hotel di sini, kelmarin.

Osman berkata anak Johor juga perlu berusaha mengetepikan soal politik dalam usaha membangunkan negeri supaya rak­yatnya tidak berpecah-belah.

Dalam majlis itu, beliau turut mengumumkan sumbangan RM100,000 kepada PAMJ bagi membangunkan aktiviti dan program muafakat dalam persatuan itu.

“Insya-Allah kalau saya diundang lagi dan dapat kerjasama setiap tahun, saya akan tambah sumbangan ini. Apa yang saya nak supaya kesatuan ini akan dapat menjalankan segala usaha murni dan juga mencapai matlamat persatuan ini ditubuhkan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika di­tanya mengenai isu Pulau Kukup di Pontian, Osman menganggap perkara itu telah selesai setelah pulau itu diputuskan terus kekal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×