PUTRAJAYA 15 Dis. – Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin telah memberikan sumbangan yang besar kepada dunia kewartawanan tanah air.
Menurut bekas Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan, Allahyarham seorang tokoh hebat melalui pelbagai hasil penulisannya.
“Allahyarham seorang yang cukup tegas dan berprinsip.
“Allahyarham seorang tokoh politik yang harus dikenang oleh mana-mana wartawan. Cara kerja beliau harus diajar di mana-mana sekolah kewartawanan,” katanya ketika ditemui di kediaman Allahyarham Zainuddin di Presint 10, di sini malam tadi.
Menurut Zaini, beliau mempunyai banyak kenangan manis bersama Allahyarham yang mula dikenalinya ketika menjalani praktikal pada 1987 dan mula bekerja di Utusan dua tahun kemudian.
Jelasnya, hubungan baik bersama Allahyarham kekal hingga sekarang, malah beliau sempat mengikuti program Allahyaram menyampaikan sumbangan 500 judul buku miliknya kepada Universiti Islam Malaysia di Cyberjaya bulan lalu.
Sementara itu, Pegawai Khas kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Roslan Othman pula menyifatkan Utusan kehilangan seorang yang amat bernilai.
“Allahyarham merupakan mutiara yang patut dikenang,” katanya.
Menurut Roslan, beliau mula mengenali tokoh tersebut yang mudah bekerjasama ketika bekerja dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri kèempat.
“Allahyarham seorang yang senang dihubungi, saya terkejut terima berita kematian Allahyarham,” katanya.
Turut menziarah Allahyarham ialah Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, Tan Sri A. Kadir Jasin. – UTUSAN ONLINE










