KUALA LUMPUR 17 Dis. – Berbaki hanya dua minggu lagi sebelum mengakhiri 2018, aliran keluar bersih dana asing daripada Bursa Malaysia yang memasuki tempoh enam minggu berturut-turut kini mencecah RM11.1 bilion.
MIDF Research berkata, aliran keluar dana asing daripada Bursa Malaysia pada minggu lalu meningkat kepada RM314.3 juta ekuiti tempatan, yang juga merupakan tiga kali ganda daripada jumlah yang dibawa keluar minggu sebelumnya.
“Walaupun jumlah tersebut mengimbangi aliran masuk bersih tahun lalu, Malaysia masih menjadi negara dengan aliran keluar kedua terendah dalam kalangan tujuh pasaran Asia yang kita pantau,” katanya dalam Laporan Aliran Dana Mingguan MIDF Research di sini hari ini.
Menurut firma penyelidikan itu, pelabur asing merupakan penjual bersih pada Isnin susulan kadar inflasi China memberatkan sentimen pelabur.
Katanya, pada Selasa, jualan asing terus berterusan selepas Perdana Menteri United Kingdom, Theresa May menunda undi Brexit di Parlimen dan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun merosot untuk tempoh lebih empat tahun.
Pelabur asing menjadi pembeli bersih pada Rabu dan Khamis, dengan jualan pada Khamis mencatatkan kemasukan bersih asing sebanyak RM123.3 juta, yang tertinggi sejak awal November.
“Keyakinan terhadap pasaran kembali meningkat susulan rancangan China untuk mengurangkan tarif kepada Amerika Syarikat (AS) antara 15 hingga 40 peratus.
“Bursa tempatan kemudiannya mencatat keuntungan melebihi 0.5 peratus pada kedua-dua hari berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun MIDF Research berkata, sentimen kembali lemah pada Jumaat selepas jualan runcit China menunjukkan pertumbuhan yang paling perlahan sejak 2013 sementara pengeluaran perindustriannya meningkat paling sedikit dalam tempoh tiga tahun.
Bursa Malaysia mencatatkan pengeluaran dana asing sebanyak RM133.1 juta pada hari berkenaan.










