Al-fatihah...Zam - Utusan Malaysia

Al-fatihah…Zam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMALAM, kita dikejutkan dengan berita pemergian Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Zainuddin Maidin. Pada usia 79 tahun, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 6.40 petang akibat serangan jantung. Zainuddin sebelum itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya sejak 13 November lalu selepas dilaporkan menghidap penyakit paru-paru berair.

Bekas Menteri Penerangan itu yang lebih mesra dengan panggilan Zam sememangnya cukup sinonim dengan Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan Melayu) khususnya Utusan Malaysia kerana di situlah kariernya sebagai wartawan bermula. Beliau mula bertapak dalam bidang kewartawanan sebagai pemberita sambilan Utusan Melayu di Alor Setar pada 1951 seterusnya pemberita tetap, 10 tahun kemudian dan berpindah ke ibu negara.

Di Kuala Lumpur, bakat penulisannya menyerlah dan beliau dilantik menjadi Ketua Pemberita sehingga 1971 sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pengarang Berita dari 1972 hingga 1975.

Komitmen yang ditunjukkannya dalam tugas membuatkan pengurusan Utusan Melayu menghantarnya ke London sebagai koresponden sebelum pulang ke tanah air, setahun kemudian.

Sekembalinya ke ibu pejabat, Allahyarham dinaikkan pangkat sebagai Pengarang Utusan Malaysia sehingga 1982 seterunya Ketua Pengarang Kumpulan dari 1983 sehingga 1992. Semasa era inilah, akhbar Utusan Malaysia begitu disegani kerana berani menghasilkan berita-berita yang mampu mempengaruhi pemikiran rakyat.

Selepas itu, Zainuddin dilantik sebagai Penasihat Jabatan Pengarang sehingga Ogos 1994 dan kemudian Pengerusi Eksekutif Utusan Publication and Distributors Sdn. Bhd. sehingga 1995.

Beliau kemudian menjadi Ahli Pengarah Kumpulan Utusan Melayu dan pada 1998 sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif kumpulan itu.

Tidak hairanlah apabila pada saat-saat akhir hayatnya, Allahyarham ada mengkritik Utusan Melayu khususnya Utusan Malaysia. Walau bagaimanapun, itu semua dilakukan demi sayangnya kepada akhbar keramat tersebut yang telah banyak berjasa kepada perjuangan orang Melayu dan Islam. Zainuddin pastinya tidak mahu akhbar tersebut berkubur kerana itulah satu-satunya lidah orang Melayu yang paling berani membela nasib bangsa dan kedaulatan tanah air.

Ketokohan Zainuddin bukan sahaja dalam bidang kewartawanan malahan politik juga. Kerjayanya dalam politik bermula sebagai Ahli Dewan Negara pada 1998, sebelum menjawat tugas Setiausaha Parlimen di Kementerian Penerangan pada 17 Januari 2001 yang ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan Perdana Menteri.

Beliau sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara untuk penggal kedua pada Februari 2001 seterusnya dilantik memikul tanggungjawab Timbalan Menteri Penerangan pada 21 November 2002.

Pada Pilihan Raya Umum 2004, Zainuddin memenangi kerusi Parlimen Merbok selepas menewaskan calon PKR, Saiful Izham Ramli dengan majoriti besar, 15,445 undi.

Semasa rombakan Kabinet ketika pentadbiran Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 14 Februari 2006, Allahyarham dilantik sebagai Menteri Penerangan bagi menggantikan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, beliau yang bertanding kerusi Parlimen Sungai Petani bagaimanapun tewas kepada Datuk Johari Abdul dari PKR.

Di atas sumbangan besarnya dalam dunia kewartawanan dan politik, Zainuddin dianugerahkan Tokoh Wartawan Negara pada 2006 dan Tokoh Melayu Terbilang sempena Ulang Tahun UMNO ke-64 pada 2010.

Zainuddin dilahirkan di Kota Kuala Muda, Kedah pada 26 Jun 1939. Allahyarham mendapat pendidikan awal di Maktab Mahmud, Alor Setar.

Beliau kemudiannya mendapat diploma dalam bidang kewartawanan dari Berlin Journalism Institute pada 1969. Pada 1981, beliau dianugerahkan Professional Journalist Fellowship daripada University of Michigan, Amerika Syarikat.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Puan Sri Zaiton Zainol Abidin dan dua anak lelaki serta dua perempuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×