KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, satu akta khusus untuk warga emas akan digubal dalam waktu terdekat bagi melindungi kebajikan dan hak asasi golongan itu.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara (MPPWEN) yang dipengerusikannya hari ini.
Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, akta tersebut juga antara lain bagi mewujudkan sistem sokongan yang diperlukan warga emas.
“Menyedari Malaysia akan menjadi negara tua menjelang tahun 2030, di mana 15 peratus daripada penduduk bakal terdiri daripada golongan ini (warga emas), kementerian akan menggubal akta khusus untuk warga emas dalam waktu yang terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Azizah berkata, kementerian itu sedang merancang untuk mengadakan satu projek rintis untuk mewujudkan bandar raya mesra warga emas dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).
“Projek ini adalah untuk menggalakkan penglibatan penduduk dalam perancangan tempatan dan seterusnya mewujudkan persekitaran mesra warga emas,” katanya. – Bernama










