Akademi Persilatan Sedunia tanda tangani MoA dengan WAMAPS - Utusan Malaysia

Akademi Persilatan Sedunia tanda tangani MoA dengan WAMAPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Dis. – Akademi Persilatan Sedunia (APS) telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Akademi Falsafah Seni Mempertahan Diri dan Sains Dunia (WAMAPS) bagi mengiktiraf pengamal seni bela diri terutama penggiat silat di negara ini.

Majlis yang berlangsung di Ara Damansara itu bertujuan memberi pengiktirafan dan penganugerahan kepada usaha, dedikasi, pencapaian dan kajian pembelajaran daripada segi falsafah dan sains terhadap ilmu seni bela diri khususnya seni persilatan.

Antara wakil pertubuhan dan akademi persilatan serta seni bela diri yang hadir di majlis itu adalah Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, Aikido Shudokan Malaysia/Singapura, Persatuan Seni Silat Warisan Pusaka Melayu, Pertubuhan Endau Suci Gerak Jebat, Persaudaraan Setiahati Terate, Pertubuhan Silat Seni Pusaka Gayong Malaysia, Pertubuhan Silat Seni Pusaka Gayong Malaysia, Pertubuhan Silat Seni Gayung Cula Sakti Malaysia, Institut Silat Seni Gayong, Akademi Gayong Selangor dan Persekutuan Gayong Amerika Syarikat (USGF).

Majlis itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat APS, Datuk Zainal Abidin Sakom.

Melalui MoA itu, APS akan memperoleh akreditasi dari WAMAPS yang akan menganugerahkan diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah berdasarkan pengalaman hidup dalam seni bela diri.

Ini akan membolehkan APS mengiktiraf pengamal seni bela diri persilatan dari seluruh dunia melalui pencapaian dalam bidang seni mempertahankan diri beserta kajian sains dan falsafah.

Program ini direka bagi membolehkan pengamal seni bela diri bekerja sepenuh masa atau sebagai profesional dalam seni bela diri persilatan.

Pada majlis itu WAMAPS diwakili oleh presidennya, Datuk Seri Dr. Sabree Salleh dan APS diwakili Pengarahnya, Datin Hartini Osman.

Pada majlis itu, Dr. Sabree turut menyampaikan ijazah doktor falsafah (Phd) seni bela diri falsafah dan sains WAMAPS yang membawa kepada gelaran doktor kepada Hartini Osman dan seterusnya dimasyhurkan sebagai sebagai rektor APS. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN