KUALA LUMPUR 15 Dis. – Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu dikekalkan sebagai Presiden UMNO dan segala tuduhan dan desakan yang memintanya meletakkan jawatan hanya dilihat sebagai satu permainan persepsi.
Presiden Pertubuhan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM), Syed Muhamad Imran SN Syed Abdul Aziz berkata, tuduhan-tuduhan terhadap Ahmad Zahid antaranya seperti beliau gagal menentukan hala tuju UMNO jelas merupakan persepsi daripada segelintir ahli UMNO yang bersifat rakus terhadap jawatan.
“Pertuduhan-pertuduhan yang dihadapi ini hanyalah sekadar persepsi dan kelemahan ini diambil oleh segelintir ahli UMNO yang mempunyai sifat seperti ‘pembangkang di dalam pembangkang’.
“Ahmad Zahid harus berani dalam membuat keputusan dan tidak perlu mempedulikan kenyataan dari ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) atau ahli UMNO yang ingin keluar dari parti. Mereka ini bukanlah sebenar-benar pejuang,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Syed Muhamad Imran lagi, Ahmad Zahid perlu dikekalkan untuk memimpin UMNO kerana kecekalan yang ada pada dirinya boleh mengembalikan semangat ahli UMNO di peringkat akar umbi.
“Kami juga memohon kepada Presiden UMNO agar mengenakan tindakan disiplin ataupun memecat keahlian mereka yang jelas cuba mengganggu gugat kepimpinan UMNO ketika ini
“Kepemimpinan UMNO sekarang adalah berdasarkan undian ahli-ahlinya sendiri oleh itu kami berharap Ahmad Zahid tidak akan melayan kata-kata daripada mereka yang telah keluar daripada UMNO,” katanya. – UTUSAN ONLINE










