HANOI – Kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abd. Radzak mahu rakan-rakan sepasukan kekal tenang menjelang aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium My Dinh, Hanoi malam ini.
Katanya, kesebelasan terbaik yang bakal dipertaruhkan oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe nanti perlu percaya bahawa Harimau Malaya mempunyai peluang untuk mencipta kejutan di bumi Vietnam.
“Ini adalah hari penentuan siapa bakal bergelar juara dan saya harap semua pemain dapat berikan yang terbaik kerana tiada apa yang mustahil memandangkan kami pernah menang di Vietnam juga sebelum ini pada edisi Piala AFF Suzuki 2014.
“Apa sahaja yang berlaku, saya harap sokongan yang diberikan oleh penyokong bola sepak tanah air sepanjang bulan ini dapat diteruskan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lepas, kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 yang menyaksikan Malaysia bangkit daripada ketinggalan 0-2.
Kali terakhir skuad Harimau Malaya menjulang trofi Piala AFF Suzuki adalah pada edisi 2010 ketika dibimbing Datuk K. Rajagobal. – K! ONLINE










