KUALA LUMPUR – Seramai 825 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan bagi mengawal keselamatan dan trafik pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, anggota trafik akan membuat kawalan seawal pukul 2 petang bagi mengelak kesesakan di sekitar kawasan stadium berkenaan.
“Anggota trafik akan ditugaskan di lokasi yang telah dikenal pasti dan kita hanya akan membuat lencongan atau penutupan jalan sekiranya keadaan sesak.
“Selain itu, kita juga akan membuat kawalan keselamatan di dalam dan luar stadium bagi memastikan kelancaran perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Beliau turut memberitahu, seramai 90,000 peminat bola sepak dianggarkan akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan itu.
“Saya juga ingin mengingatkan orang ramai agar tidak membawa barang larangan seperti mercun, suar, senjata, laser dan topi keledar ketika perlawanan akhir tersebut.
“Jangan cetuskan sebarang provokasi antara penyokong kedua-dua pasukan yang boleh mengugat ketenteraman awam,” katanya. – K! ONLINE










