KUALA LUMPUR – Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang kritikal akibat dipukul dalam kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya baru-baru ini menunjukkan tindak balas yang semakin aktif terhadap pihak yang bercakap terhadapnya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Muhammad Farid Md. Rafik berkata, ahli keluarga dan rakan-rakannya hadir untuk memberikan kata-kata semangat.
“Dia sudah membuka mata dan boleh mengangguk serta memahami percakapan mereka yang datang melawatnya.
“Keadaannya kelihatan lebih tenang kerana sudah diberikan penerangan tentang persekitarannya dan apa yang terjadi terhadapnya,” katanya pada sidang akhbar di Institut Jantung Negara (IJN) di sini selepas melawat Muhammad Adib dan ahli keluarganya hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah dan Timbalan Menteri Pembangunan Keusahawanan, Datuk Dr. Mohd. Hatta Ramli.
Muhammad Farid menambah, Adib telah diberikan ubat tahan sakit memandangkan masih ada mesin yang disambungkan kepada tubuhnya.
“Keadaan paru-parunya masih belum pulih dan saya tidak boleh mengulas lanjut tentang masa yang diambil untuk pulih kerana ia akan dimaklumkan oleh pihak IJN.
“Keadaannya masih kritikal tetapi sudah stabil dan kita berharap dia akan pulih dengan sebaiknya,” ujarnya.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan Muhammad Adib cedera parah setelah dipukul perusuh dalam satu kejadian di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada awal pagi Selasa lalu. – K! ONLINE










