SEPANG – Seramai 73,000 warga asing dikenakan Notis Tolak Kemasukan (NTL) di semua pintu masuk negara ini sejak 1 Januari lalu, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.
Beliau berkata, perintah larangan masuk itu yang diperuntukkan mengikut Seksyen 8, Akta Imigresen 1959/63 dilaksanakan kerana dicurigai boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Imigresen 2018 peringkat Jabatan Imigresen Malaysia KLIA di sini hari ini, Mustafar berkata, antara kesalahan warga asing berkenaan ialah pemalsuan status pelajar, pasport rosak dan tempoh pasport yang hampir tamat iaitu dua minggu.
“Ada juga warga asing diberikan NTL kerana mereka tidak dituntut oleh majikan selepas tiba di Malaysia dalam tempoh enam jam seperti yang ditetapkan, jadi kita tidak ada pilihan selain menghantar mereka pulang selepas warga asing menunggu sehingga tiga hari di lapangan terbang.
“Bagi kes pemalsuan status pelajar, ada warga asing yang melampirkan surat tawaran palsu institusi pendidikan yang sudah lama ditutup dan tidak beroperasi di negara ini,” katanya. – Bernama










