7 orang maut ditembak - Utusan Malaysia

7 orang maut ditembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SRINAGAR 16 Dis. – Kawalan keselamatan ketat oleh tentera dan serangan yang dipercayai dilancarkan kumpulan pemisah memaksa penutupan sebahagian besar pentadbiran kerajaan India di Kashmir, hari ini, selepas situasi tegang ekoran rusuhan ganas dan pembunuhan tujuh orang awam oleh pasukan keselamatan, semalam.

Polis bersenjata dan askar se­para tentera membuat rondaan di seluruh wilayah itu ekoran demonstrasi anti-India dan pertempuran dijangka berlaku di Kashmir.

Perkembangan itu memaksa ke­dai dan perniagaan ditutup di kawasan yang tidak mempu­nyai sekatan keselamatan sele­pas kekacauan yang berpunca da­ripada kematian tiga anggota pemisah serta seorang tentera di kawasan bergolak itu.

Pertempuran dan bantahan se­malam menyebabkan tujuh orang awam dan lebih 30 orang cedera selepas pasukan keselamatan India melepaskan tembakan ke arah penunjuk pe­ra­saan ekoran pertempuran mengakibatkan tiga orang pemisah dan seorang askar terbunuh.

Penduduk tempatan mendakwa, pasukan keselamatan menggunakan peluru hidup yang di­halakan ke arah orang ramai ketika polis mendakwa penunjuk perasaan bergerak terlalu hampir dengan zon pertempuran selain kesal dengan kematian orang awam.

“Kami hanya datang memerhati insiden itu, polis boleh sahaja melepaskan tembakan ke udara bagi meleraikan orang ramai.

“Tembakan itu berlaku di sebuah kawasan terbuka kira-kira 30 meter dari kawasan pertempuran, mereka sepatutnya melepaskan tembakan ke udara namun tidak berbuat demikian,” kata seorang saksi, Asim Ahmad kepada The Indian Express.

Asim berkata demikian semasa menemani sepupunya, Jehangir, 20, di hospital selepas terpaksa dibedah ekoran kece­deraan yang dialami di bahagian abdomennya.

Dalam pada itu, kumpulan pemisah yang mencabar kedaulatan India ke atas Kashmir mendakwa pembunuhan ber­kenaan merupakan sebahagian daripada dasar kerajaan selain mengisytiharkan tempoh berkabung dan penutupan wilayah tersebut selama tiga hari.

Pihak berkuasa turut menghentikan perkhidmatan kereta api dan memutuskan sambu­ngan internet di Srinagar dan bandar lain serta mengurangkan kelajuan rangkaian di beberapa bahagian di Lembah Kashmir.

Langkah itu dipercayai bagi menyekat penunjuk perasaan anti-India mengatur bantahan lain dan menyekat sebarang penyebaran video protes oleh penduduk Kashmir.

Sementara itu, jurucakap perubatan di Hospital Daerah Pulwama, Dr. Rashid Para berkata, sekurang-kurangnya 30 pesakit dikejarkan ke premis itu, semalam dengan enam daripada­nya meninggal dunia.

“Kami merujuk 12 mangsa yang cedera ditembak ke Hospital Shri Maharaja Hari Singh dan Institut Perubatan Sains Sher-i-Kashmir di Srinagar,” katanya.

Sejak kebelakangan ini, kebanyakan golongan belia Kashmir menunjukkan solidari­ti bersama kumpulan pemisah dan dipercayai cuba melin­dungi mereka dengan bertempur dengan tentera di jalan raya semasa operasi tentera diadakan walaupun pihak berkuasa melarang mereka berbuat demikian.

Hampir 70,000 orang terbunuh ekoran tindakan kekerasan tentera India ke atas orang awam dan pemisah Kashmir.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×