60 anak yatim, asnaf dirai di Kemaman - Utusan Malaysia

60 anak yatim, asnaf dirai di Kemaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 14 Dis. – Seramai 60 orang anak yatim dan asnaf berusia 6 hingga 17 tahun di sekitar daerah ini diraikan dalam satu majlis makam malam dan doa selamat di tempat letak kereta di Jalan Padang, Cukai, di sini malam tadi.

Majlis Makan Malam dan Doa Selamat Bersama Anak Yatim dan Asnaf itu merupakan anjuran bersama BW Event & Management (BWEM) dengan Pertubuhan Amal Prihatin Kemaman Terengganu (Papket).

Setiausaha Papket, Raja Salimah Raja Ngah berkata, selain menikmati makan malam, mereka juga diberi baju, beg sekolah dan jam tangan sumbangan peniaga Pesta Lelong Kaw Kaw 2019 dan penganjur program iaitu BWEM.

“Selain itu, peniaga Pesta Lelong Kaw Kaw 2019 dan BWEM turut memberi sumbangan barangan keperluan dapur seperti beras, minyak masak dan lain-lain kepada pondok-pondok di daerah ini.

“Ini sumbangan kali pertama daripada peniaga Pesta Lelong Kaw Kaw 2019 dan BWEM kepada anak yatim dan pondok sejak mereka mengadakan jualan bermula 5 Disember hingga 16 Disember depan,” katanya yang mewakili Pengerusi Papket, Muhammad Faisal Kamarudin.

Beliau berkata, Papket yang baru sahaja lulus pendaftaran dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (Ros) Ogos lalu telah beberapa kali membantu anak yatim dan asnaf di daerah ini dan terbaru, sumbangan kelengkapan persekolahan kepada lebih 170 orang anak yatim dan asnaf awal bulan ini.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada penganjur Pesta Lelong Kaw Kaw 2019 yang sudi bermurah hati memberi sumbangan kepada anak yatim dan asnaf serta pondok di daerah ini,” ujarnya.

Dalam majlis itu, selain beramah mesra dengan penganjur, anak yatim dan asnaf turut dihiburkan dengan persembahan Qasidah oleh pelajar Pondok Mustaqim Batu 4, Binjai serta bergambar dengan Maskot Ultraman. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN