32 suspek sindiket judi dalam talian direman empat hari - Utusan Malaysia

32 suspek sindiket judi dalam talian direman empat hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Dis. – Sebanyak 32 individu termasuk tiga wanita warga China ditahan reman selama empat hari untuk disiasat berhubung penemuan pusat operasi judi dalam talian di sebuah banglo mewah empat tingkat di Taman Equine, Seri Kembangan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 52 tahun itu ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

“Kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 24 Disember bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Dua lelaki warga China yang turut diselamatkan dalam serbuan semalam dihantar ke Hospital Serdang bagi pemeriksaan dan dilaporkan dalam keadaan stabil serta tiada kecederaan serius,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, Majistret Mahkamah Petaling Jaya membenarkan Perintah Perlindungan Sementara (IPO) selama 21 hari dan mangsa akan dihantar ke rumah perlindungan selepas selesai mendapatkan rawatan di hospital.

Semalam media melaporkan, kegiatan sindiket perjudian online yang berselindung di sebalik kawasan perumahan elit di Taman Equine, Seri Kembangan, di sini dengan meraih kutipan pertaruhan daripada pemain dari China dianggarkan lebih RM15 juta sejak sebulan lalu terbongkar apabila markas sindiket itu diserbu polis.

Dalam serbuan pada pukul 4.10 petang itu turut membawa kepada penemuan dua lelaki warga China berusia lingkungan 20-an yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN