KUALA LUMPUR 20 Dis. – Bagi menguatkan lagi desakan supaya P. Waytha Moorthy meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) akan menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri, esok.
Ketua Sekretariat Ummah, Aminuddin Yahya berkata, memorandum menuntut Waytha Moorthy meletak jawatan itu akan diserahkan selepas sahaja Himpunan Suara Ummah ‘Justice4Adib” di dataran hadapan Masjid Putra, Putrajaya yang dianjurkan pihaknya diadakan iaitu sebaik selesai solat Jumaat.
“Himpunan itu akan kami adakan selepas solat Jumaat, kemudian ada doa dan tahlil ringkas serta penjelasan serba sedikit sebelum kira-kira 300 orang daripada 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai bergerak ke Pejabat Perdana Menteri yang terletak berhampiran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya sikap Tun Dr. Mahathir Mohamad yang seakan-akan masih mahu mempertahankan Waytha Moorthy, Aminuddin yakin Perdana Menteri akan menerima desakan kuat rakyat ketika ini.
“Ini seperti juga dalam isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), akhirnya selepas menerima tekanan pelbagai pihak akhirnya Dr. Mahathir akur.
“Saya yakin beliau akan terima..insya-Allah dan saya harap beliau akan mempertimbangkan dan mendengar suara rakyat ini. Jika usaha ini tidak berhasil kami akan adakan tindakan susulan, kalau perlu kita akan berkumpul lebih ramai lagi, apa sahaja untuk pastikan Waytha Moorthy meletakkan jawatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










