3 remaja berlumba haram ditahan - Utusan Malaysia

3 remaja berlumba haram ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS 30 Dis. – Seramai tiga remaja belasan tahun yang sedang berlumba haram di lebuh raya Butterworth di sini malam tadi ditahan polis dalam operasi membanteras mat rempit.

Salah seorang mereka yang berumur 15 tahun merupakan pelajar manakala dua lagi masing-masing berusia 17 tahun merupakan pekerja kilang dan bekerja sendiri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mereka ditahan hasil maklumat awam selepas dikesan melakukan pelbagai aksi seperti menundukkan badan dan meniarap di atas motosikal yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

“Kesemua tangkapan tersebut telah menjalani saringan awal ujian air kencing dan didapati negatif dan mereka disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan1987,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noorzainy mengingatkan ibu bapa sentiasa mengawasi aktiviti anak masing-masing supaya tidak terjebak dengan aktiviti tidak sihat itu kerana boleh menjejaskan masa depan generasi muda.

Kata beliau, pihaknya akan terus menggiatkan aktiviti membanteras lumba haram yang bukan sahaja bertujuan mengurangkan kadar kemalangan malah mengelak lebih banyak nyawa menjadi korban di jalan raya.

“Sehubungan itu, kita menggesa sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan tidak sihat ini atau perbuatan jenayah lain melaporkan segera kepada polis,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×