3 juta ahli tetap yakin - Utusan Malaysia

3 juta ahli tetap yakin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
SEJARAH UMNO memimpin negara sebagai pemerintah selama 61 tahun menunjukkan bukti bahawa parti berkenaan mampu melaksanakan tugas dengan baik hasil sokongan akar umbinya. Ketokohan calon terpilih dalam setiap pilihan raya, rekod cemerlang Barisan Nasional (BN) yang memerintah, kesetiaan ahli kepada parti, kekuatan jentera berkempen dan kedudukan kewangan mantap membiayai kos kempen menyumbang ke arah kejayaan itu. Kemenangan calon BN dalam setiap pilihan raya bukan disebabkan ketokohan masing-masing, sebaliknya beberapa faktor yang disebutkan tadi.

Oleh itu, desakan rakyat yang mengundi calon BN dalam Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) lalu wajar dihormati dan ditunaikan demi maruah ahli Parlimen terbabit yang keluar meninggalkan UMNO supaya pilihan raya kecil (PRK) boleh diadakan.

Pada pandangan saya, ahli UMNO tidak perlu berasa gusar dengan kejadian malang itu kerana mereka masih mempunyai kekuatan akar umbi berjumlah lebih tiga juta. Pemimpin boleh datang dan pergi, namun UMNO tetap berdiri teguh di tempat asalnya tanpa berubah. Kepemimpinan parti boleh diambil alih golongan bijak pandai dan tokoh profesional baharu UMNO yang lebih baik dan berwibawa.

Apa guna menjadi seorang pemimpin hebat suatu ketika dahulu dalam UMNO tetapi tidak mempunyai sikap jujur, amanah, bertimbang rasa dan setia kepada parti dan bangsa Melayu di negara ini? Sebenarnya Allah itu menguji kekuatan minda dan kesabaran jiwa ahli dan pemimpin UMNO. Sekali tewas dalam pilihan raya bukan bermakna kalah selama-lamanya. Sebaliknya, kekalahan banyak kerusi dalam PRU-14 sebenarnya memberi ruang kepada mereka untuk bermuhasabah diri.

Sekarang banyak masa boleh digunakan bagi menyelami hati dan masalah rakyat yang perlukan pembelaan. Sekiranya masa berkenaan dimanfaatkan ketika ini, banyak masalah mereka dapat diatasi dan saya yakin kepercayaan orang ramai kepada BN akan kembali pulih menjelang PRU-15 nanti.

Ahli UMNO seramai tiga juta orang mesti berani, yakin dan dengan tegas mengatakan bahawa parti mereka masih diterima rakyat terutamanya Melayu Islam dengan syarat terus bersatu bersama penyokong parti Pas.

AZMI ABDUL MALEK
Universiti Utara Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN