JOHOR BAHRU 3 Dis. – Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 mendedahkan sebanyak 29 aset milik Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor yang diperoleh sebelum ini bagi kegunaan kerja-kerja penyelenggaraan jalan didapati tidak digunakan dan terbiar selepas kerja penyelanggaraan diswastakan kepada dua syarikat konsesi.
Dua syarikat itu ialah Amona Infra Care Sdn Bhd (Amona) dan Teto Engineering Sdn Bhd (Teto).
Menurut laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, aset berjumlah RM2.31 juta itu merangkumi pelbagai jenis termasuk jentera Back Hoe Loader Case Super M, Komatsu Grader, Roller New Holland dan Mesin Ujian Premix.
Sebanyak lapan daripadanya adalah milik JKR Daerah Kota Tinggi, 11 aset milik JKR Daerah Mersing dan 10 lagi aset milik JKR Daerah Segamat.
“Semakan lanjut audit mendapati aset yang dibeli pada tahun 2015 masih belum digunakan sehingga tarikh lawatan Audit. Aset yang masih dalam keadaan baik tetapi tidak digunakan menjadi kerugian serta pembaziran kepada Kerajaan,” kata laporan itu.
Bagaimanapun, dalam maklum balas bertarikh 17 Sept 2018, JKR negeri menyatakan sebahagian daripada jentera itu mempunyai jangka hayat yang telah melangkaui tempoh yang ekonomik untuk disenggara dan sukar untuk mendapatkan alat gantian.
Sebahagian jentera yang lain pula masih digunakan JKR Daerah seperti backhoe dan peralatan ‘roadline’.
“Jentera yang melebihi usia 20 tahun telah disyorkan untuk dibuat pelupusan menggunakan Sistem Penilaian Kenderaan Atas Talian (PiKAT). Bagaimanapun kelulusan pelupusan adalah di bawah kuasa Ketua Jurutera Mekanikal Negeri (KJMN) Johor.
Selain itu, Dasar Kerajaan Negeri supaya menyerahkan kerja senggaraan jalan negeri kepada syarikat konsesi secara tidak langsung mengurangkan peruntukan bekalan bahan mentah. Ketiadaan bekalan bahan mentah ini telah menghadkan penggunaan jentera. Jentera ini hanya digunakan pada masa tertentu seperti majlis keraian dan pembaikan jalan secara jabatan sahaja.”
Justeru, bagi menambah baik pengurusan aset, ketua audit mengesyorkan JKR negeri agar menggunakan aset yang ada untuk tujuan sewaan kepada jabatan, agensi, syarikat atau diserahkan kepada JKR negeri lain.
Sementara itu, penswastaan penyenggaraan jalan negeri yang dinyatakan dalam laporan berkenaan bertujuan mengurangkan beban kewangan dan pentadbiran kerajaan, selain meningkatkan produktiviti serta merangsang usahawan dan pelaburan bagi menyumbang ke arah peningkatan aktiviti ekonomi dan kemakmuran negeri Johor.
Pengurusan penswastaan penyenggaraan jalan ini dijalankan dengan menggunakan peruntukan yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Pemberian Jalan Negeri dan diakaunkan di bawah Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Raya Negeri Johor.
Berdasarkan Perjanjian Konsesi, kerja penyenggaraan jalan ini dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu penyenggaraan rutin (berjadual), berkala (pavement dan bukan pavement) dan kecemasan. – BERNAMA










