ALOR SETAR 3 Dis. – Seramai 1,250 orang pelajar sekolah rendah dari keluarga miskin di negeri ini menerima sumbangan pek ‘Kembali ke Sekolah’ untuk persiapan sesi persekolahan 2019.
Kesemua mereka menerima sumbangan itu yang bernilai RM100 setiap seorang, terdiri daripada pakaian, beg dan kasut sekolah.
Secara keseluruhan McDonald’s menyumbangkan sebanyak RM1.125 juta yang melibatkan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan kurang berkemampuan di negeri ini.
Selain pek ‘Kembali ke Sekolah’, inisiatif lain adalah sumbangan zakat berjumlah RM100,000 kepada Lembaga Zakat Kedah dan pelantikan individu daripada golongan asnaf ke program perantisan McDonald’s.
Majlis penyampaian kepada yang berkenaan disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh.
Yang turut hadir Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar.
Ismail ketika berucap melahirkan ucapan terima kasih kepada McDonald’s yang telah menunjukkan komitmen pihak swasta dalam berganding bahu dengan kerajaan membantu golongan kurang bernasib baik. – UTUSAN ONLINE










