11 orang maut akibat makan nasi toksik di India - Utusan Malaysia

11 orang maut akibat makan nasi toksik di India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI – Seramai 11 orang maut selepas memakan nasi dipercayai tercemar bahan toksik dalam upacara di sebuah kuil Hindu, kata seorang pegawai kesihatan semalam.

Sebilangan 29 mangsa lagi tenat dan menjalani rawatan kecemasan di beberapa hospital di bandar Mysore, negeri Karnataka.

“11 orang meninggal dunia setakat ini dan 93 lagi dimasukkan ke hospital. Daripada jumlah itu, seramai 29 pesakit memerlukan mesin sokongan hayat,” kata K.H. Prasad selaku pegawai kesihatan daerah di Chamraj Nagar di mana kuil itu terletak.

“Bahan toksik dipercayai bercampur dengan nasi. Sampel telah diambil dan dihantar untuk ujian forensik,” katanya.

Tambah Prasad, mangsa-mangsa dirawat kerana mengalami muntah, cirit-birit dan masalah pernafasan.

Menurut polis, ramai penganut Hindu berhimpun di Kuil Kicchukatti Maramma untuk upacara keagamaan, manakala nasi dihidangkan kepada mereka selepas itu.

Seorang penganut berkenaan, Murugappa berkata, mereka dihidangkan nasi tomato bersama air berperisa.

“Makanan itu mengeluarkan bau busuk tetapi orang ramai tetap memakannya,” dia dipetik sebagai berkata oleh saluran berita NDTV.

“Tidak lama kemudian, mereka mula muntah-muntah dan berbuih pada mulut,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Menteri Kartanaka, H.D. Kumaraswamy menyuarakan rasa sedih berhubung kejadian itu dan mengumumkan pampasan sebanyak 500,000 rupee (RM29,294) kepada setiap waris mangsa. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN