KUALA LUMPUR 17 Nov. – Pergerakan Wanita UMNO komited untuk memastikan kemenangan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad percaya, Mohamad yang telah menyandang kerusi DUN itu sejak tahun 2004 merupakan calon berwibawa dan berkaliber untuk terus berkhidmat di kawasan itu.
Selain itu, faktor Mohamad sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan juga diyakini mampu menyumbang kepada kemenangan beliau.
“Sejak mula bertanding di kerusi Rantau pada tahun 2004, Mohamad telah menunjukkan rekod cemerlang.
“Apatah lagi Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun beberapa hari selepas Pakatan Harapan (PH) berkuas apda 13 Mei lalu telah mengiktraf pencapaian cemerlang yang ditonjolkan Mohamad dalam membangukan negeri itu,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban mengisytiharkan kemenangan Mohamad bagi kerusi DUN Rantau dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal dan tidak sah.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azimah Omar yang mengarahkan PRK diadakan selepas kerusi DUN berkenaan dimenangi Mohamad tanpa bertanding pada 28 April lalu.
Mahkamah memutuskan demikian selepas calon PKR bagi kerusi DUN itu, Dr. S. Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei lalu bagi mencabar keputusan di kerusi tersebut. – UTUSAN ONLINE










