KUALA LUMPUR 29 Nov. – Keadaan mutakhir menyaksikan anggota keselamatan sendiri sudah tidak selamat dan perlu dilindungi daripada serangan orang ramai.
Sehubungan itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda mencadangkan supaya kerajaan menggubal satu undang-undang untuk melindungi kesemua anggota yang berkhidmat di bawah 25 agensi penguatkuasaan di negara ini.
Menurut beliau, perlindungan itu termasuk daripada tindakan saman dan cacian terhadap anggota keselamatan yang menjalankan tugas.
“SOP (prosedur operasi standard) sahaja dilihat tidak mencukupi untuk membantu menyelamat anggota dalam keadaan kritikal.
“Mekanisme ini untuk memastikan bahawa rakyat, pengguna, semua pemegang taruh menghormati entiti penguatkuasaan ini,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.
Beliau sebelum itu meluangkan masa melawat anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, yang ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) institut itu. – UTUSAN ONLINE










