[VIDEO] Polis buru Geng Estima - Utusan Malaysia

[VIDEO] Polis buru Geng Estima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Polis memburu sekumpulan tiga lelaki dipercayai berusia 20 hingga 35 tahun kerana terlibat tiga kes kejadian pecah rumah di tiga kawasan perumahan di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, ketiga-tiga kejadian pecah rumah melibatkan kerugian lebih RM150,000 tersebut dilakukan kumpulan berkenaan dalam tempoh empat jam.

“Dalam tempoh 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang, kumpulan yang menaiki kenderaan Toyota Estima  itu melakukan tiga kes pecah rumah di Sri Teruntum, Alor Akar dan Jalan Tok Gajah ketika mangsa tiada di rumah.

“Selain wang tunai, jam tangan, beg tangan wanita dan komputer riba,  mereka turut melarikan sebuah kereta jenis Mazda X5 milik salah seorang mangsa,” kata beliau.

Bercakap ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini malam tadi, Mohamad Noor menambah, siasatan awal mendapati kumpulan tersebut sebelum ini pernah melakukan pecah rumah di Rompin menggunakan kenderaan sama.

“Melalui rakaman CCTV di rumah milik salah seorang mangsa, kami mendapati suspek terdiri daripada dua lelaki berbadan kurus dan seorang lagi gempal,” katanya.

Ditanya berhubung modus operandi digunakan suspek, Mohamad Noor berkata, salah seorang lelaki tersebut berpura-pura seperti mengenali mangsa untuk meyakinkan jiran bersebelahan.

“Selepas berpura-pura telah bercakap dengan tuan rumah melalui telefon, mereka masuk ke kawasan pagar rumah dan mengumpil pintu hadapan,” katanya.

Semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah pada siang hari. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN