KUALA LUMPUR 25 Nov. – Hasrat seorang kanak-kanak penghidap kanser retinablastoma dan ketumbuhan otak untuk menjejakkan kaki ke Menara Kuala Lumpur (Menara KL) tercapai hari ini apabila berjaya menjejakkan kaki di mercu tanda ibu kota itu hari ini.
Syafiyah Nur Zahra Mohd. Faizal, 7, masih mampu tersenyum walaupun menyedari kansernya kini berada di tahap akhir.
Dalam lawatan selama hampir dua jam itu, anak kedua daripada empat adik beradik yang mesra dipanggil Zahra bersama ahli keluarganya dibawa ke mini zoo, Blue Coral Aquarium dan menara tinjau Menara KL.
Ibunya, Siti Halijah Mahidin, 34, berkata, mereka menyedari Zahra tidak mempunyai banyak masa dan menjadi tanggungjawab mereka melakukan apa sahaja untuk menunaikan hasratnya.
“Antara hasrat anak kecil kami adalah untuk ke Menara KL dan terima kasih kepada pihak pengurusan kerana menunaikan impian Zahra,” katanya kepada media di sini.
Sementara itu Ketua Pengarah Eksekutif Menara KL, Datuk Rozlan Mohamed berkata, pihaknya mendapat tahu mengenai kemahuan Nur Zahra itu daripada seorang pegawai tempat bapa kanak-kanak itu bekerja.
“Kami tersentuh dengan keinginan Zahra utuk datang ke sini, oleh itu kami telah menetapkan satu pertemuan untuknya bersama-sama ahli keluarga melawat dan makan tengah hari bersama-sama.
“Tanggungjawab sosial korporat yang kami jalankan ini sebagai satu usaha untuk menggembirakan pesakit-pesakit kanser dalam melawan penyakit,” katanya.
Pada akhir lawatan, Zahra turut dibawa untuk menikmati hidangan berkonsepkan negeri Melaka yang disajikan di restoran berputar Menara KL.











