KUALA LUMPUR 27 Nov. – Demi membanteras harga ikan yang tidak terkawal dalam pasaran, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini memperkenalkan sebuah portal yang diberi nama ‘Risikan Harga Ikan’.
Portal tersebut bertujuan memudahkan pengguna menyemak sendiri harga ikan setiap hari seterusnya melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) jika terdapat harga yang dipamerkan tidak munasabah.
Ujar Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, portal tersebut juga tersedia dalam bentuk aplikasi mudah alih dan pengguna dapat memantau kesemua harga bagi 20 jenis ikan yang dipamerkan.
“Antaranya adalah seperti Aya Kurik, Bawal Hitam, Bawal Putih, Cencaru, Keli, Kembung, Kerapu, Kerisi, Merah, Pelaling, Selar, Selayang, Siakap, Tenggiri serta beberapa lagi.
“Pameran harga ikan itu juga melibatkan 15 pasar borong serta 40 pasar runcit yang menjalankan perniagaan secara sah di seluruh negara,” katanya di sini, hari ini.
Salahuddin berkata demikian selepas merasmikan portal Risikan Harga Ikan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018.
Turut hadir, Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil dan Timbalan Ketua Pengarah LKIM, Jamaludin Othman.
Dalam pada itu, Salahuddin turut menyatakan pengenalan portal itu merupakan salah satu usaha untuk memastikan orang tengah tidak menaikkan harga ikan sesuka hati. – UTUSAN ONLINE









