ALOR SETAR 18 Nov. – Biar pun dibasahi hujan, ribuan umat Islam berhimpun di Masjid Sultanah Bahiyah dekat sini hari ini sebelum berarak hampir dua kilometer ke Wisma Darul Aman bagi menyatakan bantahan terhadap pengedaran risalah bible kepada umat Islam, baru-baru ini.
Diketuai pengasas Skuad Badar, Azhar Mohamad, aktivis Semboyan 1Malaysia, Yusuf Azmi serta pendakwah bebas, Ahmad Husam Muhammad Baderudin, kalangan peserta himpunan tersebut turut melaungkan penentangan terhadap ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Menurut Azhar, kesemua mereka yang mula berhimpun sejak pukul 8 pagi menuntut supaya kerajaan menerusi pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang didakwanya telah melanggar Perlembagaan Persekutuan.
“Sebelum ini penyebaran bible dibuat di beberapa kawasan perumahan di Kota Kuala Muda tetapi hari ini kami mendapat maklumat kegiatan itu menular ke Baling pula.
“Semua ini mesti dijawab menerusi tindakan dan kenyataan tegas dari kerajaan. Hari ini kami menganggarkan terdapat lebih 3,000 umat Islam yang hadir tetapi jika tiada tindakan diambil, kami akan kumpulkan lebih ramai lagi hingga lebih 10,000 orang untuk datang ke sini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Lanjutan daripada itu, ketiga-tiga mereka dijangka akan mewakili kumpulan tersebut untuk bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh pada pukul 2.30 petang ini di Wisma Darul Aman.
Sementara itu Ahmad Husam berkata, pihaknya menyambut baik pelawaan Ismail untuk berbincang mengenai perkara tersebut.
“Kami datang bukan membawa nafsu dan amarah sebaliknya mahu mengadakan pertemuan mahabbah dan berkasih sayang antara umat Islam.
“Dari satu sudut, kami berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana menolak ICERD namun sehingga kini masih belum terdengar lagi kenyataan tegas dari pucuk pimpinan termasuk dari Putrajaya mengenai penyebaran Bible baru-baru ini,” katanya.
Sementara itu Yusuf menegaskan pihak berwajib tidak seharusnya memandang ringan perkara itu kerana perbuatan sedemikian hanya mengundang masalah lebih besar ke dalam negara.
“Untuk rakan-rakan bukan Islam, tindakan ini dibuat bukan kerana kami rasis sebaliknya apa yang dilakukan hanyalah memelihara kepentingan agama kami.
“Kami menghormati agama lain seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tiada masalah untuk hidup bersama kaum lain namun tindakan tegas mesti diambil terhadap golongan tiada akal yang memecah belahkan keharmonian,” katanya. – UTUSAN ONLINE










