KUALA LUMPUR 21 Nov. – Usaha melibatkan campur tangan pihak luar ke dalam urusan pentadbiran negara termasuklah komitmen meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) disifatkan sebagai tindakan yang tidak matang.
Pandangan itu disuarakan oleh penganalisis dan pemerhati politik, Dr. Chandra Muzaffar ketika menghadiri sesi perbincangan mengenai hala tuju ekonomi di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di sini hari ini.
Beliau yang juga Presiden Gerakan Keadilan Sedunia (Just) percaya, tiada kewajaran untuk pihak luar campur tangan dalam hal-hal negara khususnya melibatkan kaum dan agama.
“Hubungan etnik, kaum, agama dan sebagainya adalah sesuatu yang ditentukan dalam masyarakat.
“Tidak dinafikan kita perlukan perubahan tetapi wajar dilakukan dari dalam, bukan dari luar melalui ratifikasi triti dan sebagainya,” katanya.
Chandra juga percaya isu tersebut timbul kerana wujudnya motif politik oleh pihak tertentu yang tidak dapat mencapai sesuatu dihasratkan dari dalam, justeru mereka cuba melibatkan kuasa luar, undang-undang antarabangsa melalui ratifikasi ICERD.
“Hujah saya ada asas. Kita lihat kembali apa dilakukan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) dalam demonstrasi pada 2007, satu memorandum telah dihantar kepada Ratu Elizabeth II ketika itu yang tiada kena mengena dengan kita.
“Memorandum itu dihantar konon kerana zaman British yang membawa masuk masyarakat India, jadi minta campur tangan, tengok sikap beliau. Kali ini mahu campur tangan melalui ICERD, individu yang sama terlibat,” kata beliau.











