IPOH 26 Nov. – Pakatan Harapan Perak menafikan dakwaan UMNO bahawa wujud gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu oleh beberapa Exco kerajaan negeri menerusi usul undi tidak percaya.
Ketua Pemuda Pakatan Harapan Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, sebaliknya UMNO dicabar supaya mendedahkan siapakah Exco yang dimaksudkan.
“Saya tegaskan jika benar dakwaaan itu, tolong nyatakan secara berdepan siapakah Exco

berkenaan dan kita akan lihat keberanian UMNO itu siapakah Exco yang dinyatakan.
“Ini kerana perkara itu berlaku sejak awal penubuhan kerajaan negeri lagi, setiap kali nak sidang DUN (Dewan Undangan Negeri), isu tersebut akan bangkit,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Hasnul Zulkarnain yang juga Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) negeri berkata, UMNO perlu menghentikan polemik tersebut yang bertujuan mewujudkan rasa tidak selesa dan kurang senang dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, perkara itu ditimbulkan untuk melihat sokongan rakyat setelah UMNO dan Pas berbaik-baik dan boleh duduk sepentas.
“Dakwaan tersebut bertujuan untuk mengalihkan isu ketika Presiden UMNO dan beberapa bekas pemimpin UMNO berdepan dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.
Menurutnya, tiada agenda untuk membuat usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar malah kerajaan negeri stabil dan kukuh serta dapat sokongan daripada penjawat awam dan rakyat.
“Peristiwa peralihan kerajaan negeri pada 2009 tidak akan berlaku kerana ketika itu kerajaan Persekutuan dikuasai Barisan Nasional (BN) tapi kini kerajaan negeri di bawah naungan kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) negeri, Steven Chaw berkata, terdapat lima Exco kerajaan negeri daripada DAP dan kesemua mereka menyokong Menteri Besar.
“Saya telah menghubungi kelima-lima Exco berkenaan dan menegaskan bahawa mereka memberi sokongan sepenuhnya kepada Menteri Besar,” katanya.










