ANEH? Mungkin. Tetapi percayakah anda bahawa membaca senarai peribahasa Melayu banyak memberi kefahaman mengenai kehidupan dan paling penting, idea untuk dilakukan? Aneh jika anda spesies tidak minat membaca. Betul?
Tidak mengapa. Yang berminat membaca pula bukan bermaksud mereka tidak aneh. Keanehan mereka terserlah dengan keupayaan mengaitkan sesuatu kejadian, peristiwa atau detik dengan peribahasa khusus.
Dan lebih aneh bila peribahasa itu disampaikan dengan begitu petah, lancar lagi fasih yang sekilas sejurus itu juga, pendengar atau pembacanya pasti terasa, terkesima, tersentuh, terkesan dan terharu, kalau tidak pun tersinggung kerana tuju makna yang tersirat terus menusuk ke jiwa kalbu.
Cuma dalam sesetengah masa, ada juga orang kena peribahasa tidak rasa apa-apa. Spesies ini dikategorikan ‘tak reti bahasa’. Mulutnya terganga, mata terbeliak. Namun hati kosong. Manusia sebegini, sesungguhnya ‘cukup ramai’ di sekeliling kita.
Kalangan yang meminati peribahasa adalah anda yang menyanjung keluhuran bahasa Melayu, bangga berbahasa Melayu, bersedia mempertahankannya sebagai bahasa kebangsaan dengan mengamalkan dan menggunakan tatabahasa yang betul, kerana bahasa inilah lambang jiwa bangsa Malaysia yang sebenar.
Menyelusuri ketatabahasaan ini, Merrepak ingin membuat pemakluman bahawa saya bukan pakar bahasa dan sesungguhnya amat segan bila dipetik sebagai sumber dalam sebuah video berkaitan peribahasa. Ilmu itu diraih dari Munshi Dewan, yang kemudiannya saya perpanjangkan di dalam Merrepak ini. Itu sahaja.
Yang lebih layak adalah Fadzlena Jafar yang menjadi wartawan pertama dilantik sebagai Munsyi Dewan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), minggu lepas. Syabas Munshi Fadz!
Kembali kepada soal keanehan orang yang tidak meminati peribahasa, maka hari ini Merrepak mempermudahkan anda untuk mengenal pasti peribahasa dan menggunakannya mengikut kesesuaian dengan amalan dan gaya hidup bertelefon pintar anda, seperti berikut:
Menyindir
1. Enau sebatang dua sigainya: Satu pekerjaan yang diketuai oleh dua orang.
2. Gila bahasa: Orang yang tidak panjang fikirannya.
3. Gulai sedap nasi mentah, nasi sedap gulai mentah: Tindakan yang tidak sempurna.
4. Isi lemak dapat ke orang, tulang bulu pulang ke kita: Kita yang bekerja, orang lain yang senang.
5. Bagai melulur bersitungging: Membuat sesuatu pekerjaan dengan terpaksa.
6. Berkokok di luar gelanggang, bila ke tengah menyusup di bawah kelengkang: Bercakap besar di belakang tetapi bila berhadapan mengaku kalah.
Status
7. Cakap berlauk-lauk makan dengan sambal lada: Bercakap seperti orang kaya, sebenarnya miskin.
8. Elang terbang mengawan, agas hendak mengawan juga: Orang miskin yang ingin meniru tindakan orang kaya.
9. Gajah berak besar, kancil pun hendak berak besar juga: Kelakuan orang miskin yang gemar meniru orang kaya.
10. Gajah empat kaki lagi tersaruk: Orang yang berkuasa itu waktunya sampai akan kehilangan kebesarannya.
Perangai
11. Jangan diperlelarkan timba ke perigi, kalau tak putus genting: Perbuatan yang buruk jangan dibiasakan.
12. Habis kuman disembelih hendak memberi makan gajah: Susahkan orang kecil kerana ingin menyenangkan orang yang hebat.
13. Bagai bajak wangkang makan diangkat: Orang yang gemar dipuji.
14. Apakah gunanya kemenyan disimpan sebesar tungku , kalau tidak dibakar: Kepandaian hendaklah diajarkan kepada orang lain, kerana kalau disimpan ia akan hilang begitu saja.
15. Rebung tidak miang, bembam pula yang miang: Orang bersangkutan senyap diri, orang lain pula yang campur tangan.
16. Laksana cempedak mambung, pulur saja jual tak laku: Orang yang tidak disukai ramai.
17. Berketak ayam mandul; orang berketak ia berketak, orang bertelur ia tidak: Orang yang bernasib malang, walau bagaimanapun meniru orang lain, tetapi nasibnya tetap tidak berubah.
Peringatan
18. Gar-gar gelegar, rasuk juga menahannya: Jangan senang percaya dengan perkataan orang.
19. Garam dikulum tak hancur: Orang yang cerdik menyimpan rahsia.
20. Belum tuarang panjang, buah sengkuang sebesar betis: Khabar angin yang dilebih-lebihkan.
Sebenarnya, ada banyak lagi peribahasa yang jarang digunakan tetapi kena pada maksud atau kiasan yang hendak disampaikan. Rajin-rajinlah membaca, banyak faedahnya.










