KUALA LUMPUR 17 Nov. – Pameran Tugu Ugut pastinya kedengaran pelik bagi sesetengah pihak, tetapi ini adalah salah satu cara bagi pengkaryanya memberi gambaran bahawa manusia kini hidup dalam keadaan leka dalam arus pembangunan kota.
Raja Azeem Idzham atau lebih dikenali sebagai Ajim Juxta, menggunakan pengalamannya menetap di London selama tiga bulan untuk mengekpresikan persamaan yang dialami oleh kedua-dua kota itu.
Menurutnya, pameran itu menceritakan tentang ketaksuban manusia dan para kapitalis mengejar kejayaan dan kemewahan sehingga memudaratkan orang sekeliling.
“Peluang menetap di London saya gunakan sebaiknya untuk mengumpul idea dan mencari nafas baru dalam penghasilan karya terbaru.
“Pameran ini mengisahkan tentang kita sebagai manusia yang tersepit dalam arus pembangunan sehingga memberi kesan terhadap alam sekitar dan diri sendiri,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.
Teknik yang digunakan untuk pameran Tugu Ugut adalah arkilik atas kanvas, kolaj dan instalasi.
Seni instalasi dilihat lebih sesuai untuk menyampaikan maksud yang tersirat berbanding lukisan atas kanvas dan seni kolaj.
Jelas Azeem, uniknya pameran kali ini kerana dia telah berkolaborasi bersama beberapa artis tempatan untuk menjayakan lukisan dan karya yang menarik.
“Selalunya pengkarya akan melakukan pameran solo selepas mereka menetap untuk beberapa bulan di sesebuah negara tetapi saya menggunakan peluang yang ada ini dengan mengumpul beberapa pelukis tempatan dan bekerjasama dengan mereka.
“Sebanyak 37 karya dipamerkan dan ada di antaranya kolaborasi saya bersama Syahbandi Samat, Titikmerah dan beberapa artis yang lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE










